Tuesday, March 5, 2013

Terasa

Sangat sayu melihat darah mengalir, nyawa bagai mainan, senjata jadi hidangan, akal yang Allah SWT kurnia, sia-sia. Saat ini, dikesusahan ini, hanya doa dikirim, pujian dihambur, harapan menjulang langit, agar semua indah tidak dicemar, aman tak diancam, wawasan dikucup, mimpi ini tak dikejut. Ya, baru sekarang, tika pagar demokrasi dan diplomasi direntas, kau dipuja agar dapat menjadi tempat berteduh. Baru sekarang. Dulu? Kau dimaki, "Anjing","Babi". Jauh sekali nak berkirim doa, apa lagi nak diutus kata semangat dan perangsang. Kau dikata makan duit haram, memeras untuk melicin. Apa ni? Kau juga dikecam, tidak punya peranan, tidak relevan, paling jijik, Takde Kerja Ke? Sekarang, orang digelar Babi Anjing ni yang memacak tubuh membiar dada dirobek. Agar yang tidur tak terjaga, yang membeli belah pulang senyum, yang mencaci? Akan terus menaip dan mencaci. Mungkin hanya segelintir, yang sudi menoleh, mengukir senyum, menghargai. Medan perang mereka bukan hanya di hutan, di sempadan, di perbatasan. Medan perang mereka adalah di setiap langkah, di setiap inci penjuru, disetiap nafas. Kau sanggup nak bertaruh nyawa yang satu itu untuk memanjangkan nafas orang lain? Mereka memang dibayar untuk meletakkan nyawa mereka sebagai pertaruhan. Rezeki mereka adalah kuderat yang mereka tumpahkan, disetiap larian, setiap tembakan, setiap pukulan. Kau? Hanya menanti, melihat, menunggu kecacatan, agar dapat mereka kau maki dengan pedang papan kekunci itu. Aku hidup dengan nafas mereka, aku membesar dengan bau peluh mereka, aku terdidik dengan tengking berang mereka. Dah lama aku faham, sebab itu aku tak pernah memaksa, biar dia dikeji, di caci. Timbul rasa marah, tapi aku percaya, suatu hari nanti, seperti kala ini, kamu semua akan jilat air liur yang kamu ludah. Mungkin hanya untuk tempoh yang singkat, mungkin sekelip mata, kau kembali mencaci, hanya kerana berbeza ideologi, nyawa mereka kembali dipandang sebelah mata, tak bernilai. Aku yakin akan kemampuanmu tanpa prejudis, kekalutan ini akan berakhir, dan langau-langau itu akan kembali menghurung.  Semoga selamat semua, dilindungi dari marabahaya, terus memartabat maruah bangsa, biar apa depa nak kata, disisi Allah kau mulia. 

2 comments:

  1. Elok la tu terasa sikit-sikit. Eh aku sorang je ke komen ni?

    ReplyDelete
  2. Tahniah, anda pengomen pertama. anda telah memenangi seketol bekberi rosak bernilai singgit. tahniah kepada para pemenang.

    ReplyDelete